fb fb fb fb fb

PLKI-ECRL pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur negara- PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Mei– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelaksanaan Program Latihan Kemahiran Industri-ECRL (PLKI-ECRL) sebagai satu pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur negara yang bakal membuka ruang pertumbuhan baharu di kawasan strategik.

Menurut Perdana Menteri, setiap stesen utama dalam projek ECRL berperanan sebagai pemangkin pembangunan wilayah, dan kejayaannya memerlukan kerjasama erat antara syarikat pelaksana, kerajaan persekutuan, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan.

"Setiap stesen itu akan mencetuskan pertumbuhan baharu. Maka, kerjasama semua pihak amat kritikal untuk memastikan projek ini berjaya,” tegas Datuk Seri Anwar.

Terdahulu, Perdana Menteri merasmikan Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL Bagi Fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) ECRL di ibu negara hari ini.

Beliau turut menyaksikan penyerahan surat tawaran kepada kumpulan pertama 102 pelatih yang akan berlepas ke Liuzhou, China secara berperingkat bermula 15 Mei ini, sebagai sebahagian daripada 210 peserta keseluruhan bagi latihan PLKI-ECRL Fasa O&M.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para pelatih yang terpilih untuk menyertai latihan intensif di China selain menyeru agar tampil sebagai duta kecil negara yang berdisiplin, berilmu dan berakhlak mulia.

"Saya ucap tahniah kepada anak-anak yang terpilih. Gunakan peluang ini sebaiknya, tunjukkan bahawa anak Malaysia mampu menjadi contoh kepada rakan-rakan dari China. Ini bukan sahaja latihan teknologi moden, tetapi satu amanah besar,” katanya.

Berhubung isu ketidaktentuan ekonomi global, Datuk Seri Anwar menekankan kepentingan memperkukuh daya tahan ekonomi domestik atau domestic economic resilience sebagai tunjang menjadikan Malaysia lebih berdikari, terutamanya ketika berdepan tekanan tarif sepihak yang dikenakan kuasa-kuasa besar dunia.

"Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada pasaran luar. Malaysia mesti bina kekuatan dari dalam, melalui penguasaan ilmu, teknologi dan inovasi. Dan tanggungjawab ini terletak di bahu anak muda hari ini," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi komitmen beberapa syarikat antarabangsa utama, termasuk Amerika Syarikat, Jepun dan Bahrain yang menyatakan kesediaan melabur dalam sektor strategik negara, termasuk tenaga boleh baharu dan teknologi semikonduktor.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM