fb fb fb fb fb

Struktur dan landasan LRT stesen Bandaraya pulih dua bulan lagi

(FOTO HIASAN)

SEPANG, 6 April - Kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya yang menyebabkan pemberhentian operasi di enam stesen dijangka dapat dibaik pulih dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata sebaik struktur itu dibaiki, lima set tren yang digunakan bagi operasi di enam stesen LRT terbabit akan digerakkan semula ke depoh LRT di Ampang untuk penyelenggaraan.

(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook)

"Sementara ini, kita fokus dulu untuk pembaikan struktur berhampiran Stesen LRT Bandaraya dalam masa satu hingga dua bulan ini. Selepas struktur dapat dibaiki, tren kosong itu akan digerakkan semula, balik ke depoh untuk diselenggara.

"Ketika ini, enam stesen itu ditutup berikutan masalah struktur di Stesen Bandaraya, menyebabkan lima set tren yang beroperasi antara enam stesen terbabit tidak boleh balik ke depoh untuk penyelenggaraan, itu sahaja sebabnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Tenaga Diperbaharui Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), di sini.

Rapid Rail Sdn Bhd menerusi kenyataan sebelum ini memaklumkan operasi perkhidmatan LRT di enam stesen laluan Ampang-Sri Petaling membabitkan Stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur dihentikan sejak Ahad lalu.

Bagi menampung keperluan dan melancarkan perjalanan penumpang, pihak Rapid Rail telah menyediakan perkhidmatan bas ekspres secara percuma.

Media Baharu