
SUNGAI PETANI, 21 Julai – Tindakan merobohkan binaan haram telah dilaksanakan ke atas garaj kereta dan stor yang didirikan tanpa kebenaran dalam kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Flat Paya Nahu 2, Sungai Petani, hari ini.
- Tindakan penguatkuasaan diambil kerana struktur didirikan atas tapak letak kereta awam dan menghalang kerja penyelenggaraan serta penyampaian perkhidmatan.
- Operasi melibatkan 12 blok iaitu Blok A1 hingga A9, A20, A21 dan A22 dan akan diteruskan secara berperingkat.
- Notis dikeluarkan 14 Julai; tempoh 7 atau 30 hari bergantung jenis struktur, Tabika KEMAS tidak terlibat, gerai tanpa kebenaran diberi 30 hari.
Bahagian Perumahan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah dalam kenyataan menjelaskan, tindakan penguatkuasaan diambil kerana beberapa struktur itu dibina atas tapak letak kereta awam.
Serta menghalang kerja-kerja penyelenggaraan dan penyampaian perkhidmatan oleh pihak berkuasa.
“Pelaksanaan operasi tersebut bertujuan memastikan kawasan PPR Flat Paya Nahu 2 sentiasa teratur, bersih dan selamat serta mematuhi syarat-syarat penyewaan seperti yang telah ditetapkan, ” menurut kenyataan itu.
Operasi yang dilakukan hari ini melibatkan 12 blok iaitu Blok A1 hingga A9, A20, A21, dan A22.
Operasi yang turut disertai pelbagai agensi dan jabatan kerajaan itu akan diteruskan ke blok-blok lain secara berperingkat sehingga selesai.
Jelas Bahagian Perumahan, pihaknya telah mengeluarkan notis kepada penghuni terlibat pada 14 Julai lalu dan tempoh selama tujuh hari dan 30 hari telah diberikan bergantung kepada jenis struktur binaan yang didirikan tanpa kebenaran.
Mengulas salah faham berkenaan isu Tadika Kemas di PPR Flat Paya Nahu 2 yang dikatakan turut terlibat dalam operasi, Bahagian Perumahan memaklumkan, pihaknya tiada ketegahan untuk Tabika Kemas tersebut beroperasi.
“Namun, untuk binaan gerai tanpa kebenaran, notis tempoh 30 hari telah diberikan kepada pemilik binaan gerai merobohkan dan mengosongkan binaan tersebut, ” menurut kenyataan itu lagi.