KUALA LUMPUR, 21 Januari- Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 akan disalurkan secara berperingkat bermula esok kepada penerima berdaftar dengan peruntukan RM2.3 bilion berbanding RM2.1 bilion tahun lalu.
Secara keseluruhan, program STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tahun ini bakal memanfaatkan hampir sembilan juta penerima atau 60 peratus daripada penduduk dewasa.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan peruntukan STR Fasa 1 mencerminkan tekad kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat bertambah baik .
"Meskipun peningkatan kos sara hidup, besarlah harapan Kerajaan MADANI agar peningkatan sumbangan SARA dan STR saban tahun ini dapat membantu rakyat menggapai kehidupan lebih berdarjat.
"Pembayaran STR Fasa 1 akan disalurkan secara berperingkat kepada penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank mereka atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN)," menurut kenyataan itu.
Sementara itu permohonan baharu dan kemas kini bagi STR akan dibuka sepanjang tahun .
Bagaimanapun sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, permohonan boleh dilakukan di Portal Rasmi STR menerusi pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my, bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.