fb fb fb fb fb

Penerima STR tiada akaun bank terima bantuan secara terus

Anwar Ibrahim (dua kanan) pada Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang di Miri hari ini

MIRI, 28 September- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) secara langsung kepada penerima yang layak di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai akaun bank.

"STR untuk Sarawak ini melibatkan 28,944 orang, yang bermaksud setiap keluarga akan menerima sumbangan daripada kerajaan. Namun, sumbangan ini disalurkan melalui akaun bank. Terdapat tuai rumah yang memaklumkan bahawa di rumah panjang, ramai tidak mempunyai akaun bank.

"Terdapat 500,000 penerima STR (di negeri ini) yang layak tetapi tidak memiliki akaun bank," katanya ketika berucap merasmikan Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang di sini hari ini.

Insiatif berkenaan dilancarkan pada Program Madani Rakyat di Miri dan akan diteruskan semasa lawatan Perdana Menteri ke Kapit esok.

Beliau juga mengumumkan usaha meningkatkan kemudahan kesihatan di Sarawak dengan menaik taraf beberapa Klinik Kesihatan di Miri termasuk Klinik Kesihatan Long Bemang, Klinik Kesihatan Tudan dan Klinik Kesihatan Jambatan Suai.

Beberapa klinik lain seperti Klinik Kesihatan Taman Negara Mulu dan Klinik Kesihatan Beluru juga akan dibaik pulih.

"Dana bagi projek itu sudah tersedia namun kami berdepan cabaran untuk mempercepatkan pelaksanaannya," katanya sambil memberi jaminan kerajaan akan memberi perhatian terhadap perkara itu.

Dalam pada itu, Anwar menekankan kestabilan politik yang dikecapi negara sejak dua tahun lepas tidak harus disalah guna oleh pemimpin politik, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk melaksanakan dasar demi kepentingan rakyat.

"Kadangkala, masih ada orang politik yang terdesak dan lemas melihat ekonomi yang berkembang, ringgit yang semakin kukuh, tahap pengangguran yang berkurangan, peluang pekerjaan yang meningkat, dan inflasi yang lebih terkawal. Maka, jalan keluar bagi mereka adalah menghasut untuk menimbulkan kebencian antara kaum serta kegelisahan," katanya.

SITI AISHAH MD ISA