SEREMBAN, 24 Jun- Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 bagi Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.86 tahun ini berbanding 2.82 tahun lalu.
Menurut Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar peningkatan sebanyak 0.04 mata itu merupakan PNGK tertinggi pernah dicatatkan.
Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Abu Hassan Bin Haji Sail dinobatkan sebagai sekolah terbaik Peperiksaan STPM 2024 di negeri itu dengan PNGK 3.31.
"Dari segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhannya didapati bilangan calon dan peratusan longgokan STPM 2024 pada PNGK 3.75 dan ke atas ialah 95 calon atau 7.33 peratus, PNGK 3.00 dan ke atas ialah 448 calon atau 34.6 peratus," katanya.
Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memberitahu, pencapaian PNGK negeri melepasi tahap kebangsaan itu merupakan satu perkara membanggakan selepas kali terakhir ia diraih pada tahun 2014.
"Sejak 2014 tak silap pertama kali kita atasi PNGK kebangsaan walau baru 0.1 tetapi ia amat membanggakan kerana saya nampak komitmen ditunjukkan cemerlang oleh semua dalam memastikan kecemerlangan pendidikan Negeri Sembilan. Saya cabar pihak sekolah dan semua pihak terlibat dalam institusi pendidikan agar menjadikan pelajar cemerlang supaya keputusan juga lebih hebat masa akan datang dan sudah saya umumkan bantuan untuk diberi pada mereka. Saya yakin prestasi mereka akan lebih baik," tambah beliau.
Pelajar cemerlang yang ditemui turut berkongsi rahsia kejayaan mereka dalam mencapai gred CGPA 4.0. Selain belajar dengan komited, hubungan sesama manusia juga penting untuk dipelihara.
'Pertama sekali kena jaga hubungan dengan Allah jaga kedua hubungan dg ibu bapa sesama manusia dan guru itu mungkin asbab kecemerlangan kerana kecemerlangan ini tak terletak pd akademik saja tapi pada akhlak kita juga," menurut Muhammad Fahrain Danial.
Seorang lagi pelajar, Kalpana Srikirushnamoorthy ketika ditemui berkata, dia berasa gembira kerana dapat membanggakan ibu bapa dan gurunya.
"Saya sangat bangga dengan diri sendiri dan saya rasa gembira dapat membanggakan ibu bapa dan guru saya.Setiap pagi saya bangun pukul 4 pagi untuk belajar subjek tertentu. Saya juga ada buat jadual supaya subjek yang saya ulangkaji itu dapat dihabiskan dalam masa tertentu," katanya lagi.