KUALA LUMPUR, 31 Mac- Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai penasihat beliau.
Setiausaha Akhbarnya Abdul Hakim Ab Rahman dalam satu kenyataan menjelaskan perkara itu dan memaklumkan pihaknya mengambil maklum mengenai kenyataan yang mendakwa seorang individu ialah penasihat kepada Menteri Sumber Manusia.
"Sebarang persoalan tentang perjawatan dalam pejabat menteri atau Kementerian Sumber Manusia boleh ditujukan kepada saluran rasmi kementerian," menurut kenyataan itu.
Penjelasan berkenaan berikutan laporan sebuah portal yang mendakwa seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri dipercayai menipu wang orang ramai sebanyak RM10 juta ialah penasihat kepada Menteri Sumber Manusia.
Bagaimanapun pada 29 Mac, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan ahli perniagaan berpengalaman selama 30 tahun dalam industri minyak dan gas itu yang menipu wang dengan alasan untuk diserahkan kepada polis bagi menyelesaikan kes pengubahan wang haram.
Dalam pada itu Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan satu sidang media berkaitan kes tersebut akan diadakan dalam masa terdekat.