SHAH ALAM, 2 Februari- Kerajaan menyarankan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di Malaysia agar menyediakan selimut kebakaran (EV blanket) yang telah mendapat pengujian dan pensijilan SIRIM Berhad.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, selimut kebakaran itu penting bagi mengawal kebakaran daripada merebak dan mengeluarkan gas toksik sekiranya insiden kebakaran berlaku membabitkan kenderaan EV.
"Kalau ada insiden, kita perlu bersedia walaupun kebakaran hanya 1 peratus atau 2 peratus, harganya lebih kurang RM4,000 ke RM5,000,"katanya.
Tengku Datuk Seri Zafrul berkata demikian ketika hadir melihat demonstrasi pengujian selimut kebakaran EV di Ibu Pejabat SIRIM.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Indera Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, SIRIM QAS International bertanggungjawab dalam proses pengujian dan pensijilan agar produk itu memenuhi keperluan standard yang ditetapkan.
"Produk sudah ada di pasaran tetapi perlu disahkan oleh SIRIM. Kini sedang diuji dan secepat mungkin perkara ini akan berjalan dengan lancar," katanya.