fb fb fb fb fb

Status Mudzrimar akan disahkan- Timbalan Ketua Polis Negara

KOTA KINABALU, 29 Januari- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendapatkan kepastian berhubung status sebenar anggota Abu Sayyaf, Mudzrimar @ Mundi Sawadjan yang disenarai semula sebagai individu dikehendaki.

Sebelum ini, individu terbabit dilaporkan terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak berkuasa Filipina pada 17 Mei tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya akan mendapatkan pengesahan berhubung perkara itu daripada pihak berkuasa negara jiran.

"Kita akan 'confirm' balik dengan pihak berkuasa Filipina," katanya ketika ditemui selepas Majlis Istiadat Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu.

Persoalan itu tercetus selepas kenyataan dikeluarkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sebelum ini menyatakan, Mudzrimar adalah antara 20 warga Filipina yang dikehendaki.

Semua individu itu dipercayai terbabit dalam kes penculikan untuk wang tebusan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Media Baharu