SPRM diarah banyakkan penganjuran kursus integriti

SPRM diarahkan memperbanyakkan kursus kesedaran berkaitan integriti di semua kementerian dan jabatan. Foto/BENAMA

PUTRAJAYA, 15 Januari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diarahkan supaya memperbanyakkan kursus kesedaran berkaitan integriti di semua kementerian dan jabatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM diarahkan tingkatkan kursus kesedaran integriti di semua kementerian dan jabatan.
  • Kementerian Kewangan diminta jalankan kursus kewangan untuk elak ketirisan dan kelompongan.
  • Unit integriti kementerian perlu lebih aktif menyampaikan kepentingan integriti dalam perkhidmatan awam.
  • Kerajaan akan laksana amalan baik termasuk rangka ESG untuk tingkatkan kualiti kerja.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, langkah itu bertujuan meningkatkan kefahaman penjawat awam berhubung isu integriti dan salah laku dalam perkhidmatan awam.

Beliau pada masa sama turut mengarahkan Kementerian Kewangan menjalankan kursus kesedaran berkaitan kewangan di kementerian dan jabatan kerajaan bagi mengelakkan ketirisan serta kelompongan dalam pengurusan kewangan.

“Kita telah meminta SPRM memperbanyakkan kursus kesedaran, khususnya melibatkan kementerian. Semua Ketua Setiausaha perlu mengadakan sesi kesedaran di setiap peringkat pentadbiran.”

“Saya juga meminta MOF menjalankan kursus berkaitan kewangan kerana kekurangan kefahaman dalam perkara ini boleh menggalakkan berlakunya ketirisan dan kelompongan.”

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara 2026 di Putrajaya.

Dalam pada itu, Tan Sri Shamsul Azri turut berkata semua unit integriti kementerian dan jabatan diminta memainkan peranan lebih aktif dalam memberikan kesedaran bahawa isu integriti merupakan perkara utama dalam perkhidmatan awam.

Menurutnya, kemerosotan integriti dalam kalangan penjawat awam perlu ditangani segera kerana ia boleh membawa kepada pelbagai kerosakan serta memberi kesan buruk terhadap penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Beliau turut memaklumkan, semua amalan dan contoh baik termasuk pelaksanaan kerangka Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) akan dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan kualiti kerja.