KUALA LUMPUR, 17 April- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Ekonomi bersepakat menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau projek yang diluluskan Kementerian Ekonomi di peringkat negeri dan daerah.
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengalu-alukan keseriusan dan keterbukaan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam memastikan ketelusan dalam mengekang ketirisan projek-projek diluluskan Kementerian Ekonomi demi kepentingan rakyat.
"Keterbukaan dan kesungguhan yang ditunjukkan menteri amat penting dan wajar dijadikan contoh untuk kementerian-kementerian dan agensi-agensi lain," menurut kenyataan itu.
Terma-terma pasukan khas adalah seperti pertukaran maklumat antara kementerian dan suruhanjaya itu berhubung jumlah peruntukan diluluskan kepada negeri dan daerah.
Selain itu, pelaksanaan pemeriksaan mengejut dan siasatan kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pelaksanaan projek-projek diluluskan.
Ia turut mengenal pasti kelemahan yang wujud dalam Tatacara Pelaksanaan (SOP) dan menambah baik SOP ke arah pengurusan tadbir urus dalam penentuan serta penyaluran bajet, pemantauan dan perlaksanaan projek dengan lebih berkesan.