fb fb fb fb fb

SPRM buka cawangan baharu di Gua Musang, mudahkan akses kepada orang ramai

FOTO FAIL

GUA MUSANG, 25 April - Sebuah pejabat cawangan baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuka di daerah Gua Musang pada 2 Januari lepas.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, pembukaan itu bagi memperluaskan akses orang ramai kepada perkhidmatannya.

Jelas SPRM, pembukaan cawangan di Aras 1, Bangunan Persekutuan Gua Musang itu bertujuan memudahkan masyarakat setempat berurusan dengan pihaknya.

"Majlis perasmian cawangan SPRM Gua Musang disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Datuk Sri Azam Baki hari ini.

"Pejabat berkeluasan 69 meter persegi ini dilengkapi dengan bilik ketua cawangan dan bilik merakam kenyataan, selain ruang kerja bagi menempatkan lima petugas SPRM,” menurut kenyataan itu.

SPRM mengalu-alukan orang ramai yang ingin menyalurkan sebarang maklumat berkaitan rasuah atau salah guna kuasa untuk hadir sendiri ke pejabat berkenaan atau menghubunginya dengan menelefon 09-9127623.

TETITIA YUSOFF