KUALA KRAI, 25 April- Seorang lelaki maut tercampak ke dalam sungai selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan di Jambatan Toseng Sungai Batu, Jalan Kampung Toseng, di sini, pada Rabu.
Mangsa yang berusia 20 tahun meninggal dunia dalam kejadian yang berlaku pada jam 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata siasatan awal mendapati motosikal tersebut ditunggang dari arah Kampung Jerek menghala ke Dabong.
"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal hilang kawalan lalu melanggar sebatang pokok di bahu jalan.
"Akibatnya, mangsa tercampak ke dalam sungai berdekatan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.
Kata Mazlan, remaja terbabit disahkan meninggal di tempat kejadian oleh Pembantu Perubatan Klinik Kesihatan Dabong.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis akan menjalankan siasatan secara terperinci.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta di KM76 Jalan Kota Bharu – Gua Musang (Jambatan Pahi) pada pukul 4.34 petang semalam.
Menurut Mazlan, nahas terjadi apabila kereta yang dipandu seorang lelaki berumur 54 tahun bersama seorang penumpang wanita berumur 50 tahun dari arah Pasir Puteh menghala ke Sungai Sok telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar pembahagi jalan yang berada di sebelah kiri jalan.
Katanya, akibat perlanggaran tersebut, penumpang kenderaan yang merupakan isteri kepada pemandu telah tercampak keluar dari kenderaan manakala pemandu tersepit di dalam kenderaan tersebut.
"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan di bawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.