fb fb fb fb fb

SK Dato’ Wan Kemara, SJKT Sungai Raya menang anugerah Asia

Wakil daripada SK Dato’ Wan Kemara dan SJKT Sungai Raya yang menghadiri anugerah Best Social Project Towards Education di Bangkok, Thailand

BANGKOK, 11 November- Dua buah sekolah di Kedah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, Changlun dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Raya, Langkawi berjaya mengharumkan nama Malaysia dengan menerima anugerah berprestij di Asia Education Conclave 2024 di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Program selama dua hari yang berakhir Sabtu lalu itu turut disertai negara lain termasuk Uzbekistan, Thailand, India, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Pakistan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

SK Dato’ Wan Kemara meraih anugerah Best Social Project Towards Education menewaskan 5,000 sekolah lain dari seluruh Asia, manakala guru SJKT Sungai Raya, Saraswathy Jayasankaran diiktiraf sebagai Teacher Of The Year (Sekolah Rendah).

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Othman; Guru Besar SK Dato’ Wan Kemara, Mohd Nizam Saidin; dan Pengerusi PIBG SK Dato' Wan Kemara, Zainol Abidin Mohamed turut hadir menerima anugerah tersebut.

Ismail menyatakan bahawa anugerah itu dianjurkan oleh Asia Education Conclave (AEC), organisasi yang menghubungkan pendidik dan pemimpin pendidikan untuk memperkukuh inovasi serta kecemerlangan akademik di rantau Asia.

“AEC berhasrat mengiktiraf pencapaian luar biasa dalam pendidikan, mendorong pembangunan dan kerjasama antara negara Asia melalui anugerah dan inisiatif pendidikan,” katanya kepada RTM

Anugerah berkenaan juga menjadi platform mengiktiraf usaha yang membawa perubahan positif dalam sektor pendidikan serta mempromosikan amalan terbaik dan inovasi pendidikan di seluruh Asia.

SITI AISHAH MD ISA