fb fb fb fb fb

Sistem LPQB perlu dikaji semula, pastikan pendidikan guaman berkualiti

Azalina Othman Said/RTM

KUALA LUMPUR, 12 Februari- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan sistem Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB) perlu dikaji semula bagi memastikan pendidikan guaman berkualiti serta melahirkan peguam berdaya saing.

Beliau berkata semakan semula itu penting bagi memastikan profesion guaman di Malaysia terus relevan dengan keperluan semasa terutama dalam menghadapi cabaran global dan kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

"Peningkatan jumlah peguam berdaftar menekankan keperluan untuk meminda Akta Profesion Guaman 1976 agar kekal relevan dengan perkembangan semasa. Akta ini menjadi asas utama dalam mengawal selia profesion guaman di Malaysia, termasuk menetapkan syarat kelayakan seseorang untuk menjadi peguam bertauliah," katanya.

Beliau berucap demikian pada Sesi Dialog: 'The Future of Legal Education in Malaysia' di Auditorium, Asian International Arbitration Centre (AIAC) di sini hari ini.

Menurut beliau, pemindaan akta tersebut yang dilakukan pada 9 Disember lalu merupakan langkah ke arah memastikan sistem perundangan lebih telus, selain memperkukuh standard LPQB dalam menetapkan kelayakan peguam di Malaysia.

Azalina turut menekankan cabaran besar dalam profesion guaman ketika ini termasuk pengaruh AI yang semakin berkembang, sekali gus menuntut peguam untuk memiliki kemahiran pelbagai agar terus kompetitif di peringkat antarabangsa.

"Perubahan pesat dalam bidang perundangan, ditambah dengan isu global yang semakin kompleks, menjadikan keperluan untuk menilai semula pendekatan kita terhadap pendidikan undang-undang semakin mendesak," ujarnya.

Beliau berharap semakan terhadap sistem LPQB dapat memastikan tahap pendidikan guaman yang lebih mantap, melahirkan peguam yang kompeten, sekali gus menjamin kualiti perkhidmatan undang-undang di Malaysia.

SITI AISHAH MD ISA