PUTRAJAYA, 14 Januari – Sistem e-Sepakat, yang diperkenalkan pada 2009 untuk pengesanan, pemantauan, dan pelaporan isu perpaduan secara digital, akan dibuka kepada orang awam dalam masa terdekat.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata sistem itu bertujuan memudahkan masyarakat membuat laporan berkaitan isu perpaduan di peringkat akar umbi dengan lebih mudah dan berkesan.
“Kalau dahulu, e-Sepakat hanya untuk pegawai kita, namun sekarang kita buka kepada orang awam yang mempunyai maklumat atau isu sensitif di peringkat akar umbi. Inisiatif ini memastikan semua pihak dapat menggunakan sistem berkenaan. Semua daerah ada akses,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis amanat bersama kakitangan Kementerian Perpaduan Negara (KPN), di sini.
Menurut Ago Dagang, tahun lalu, sebanyak 231 kes berkaitan isu perpaduan direkodkan.
Antaranya isu agama sebanyak 103 kes, kenyataan berbaur kebencian 89 kes dan aduan perkauman 39 kes.