KUALA LUMPUR, 14 Oktober -Sindiket pemalsuan dokumen digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi khas di sekitar Jalan Jelawat, di sini, semalam.
- Operasi JIM hasil risikan dua minggu menahan tiga warga Bangladesh, termasuk dalang utama dikenali sebagai Nayeem.
- Rampasan: 21 pasport Bangladesh, satu pasport Myanmar disyaki palsu, helaian biodata, telefon, komputer dan pisau pemotong.
- Sindiket memalsukan pasport untuk pemeriksaan FOMEMA, caj RM200–RM350 setiap dokumen; suspek ditahan untuk siasatan di bawah Sek.56(1)(l).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu hasil risikan dua minggu oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Pasukan operasi menahan tiga lelaki warga Bangladesh berusia 25 hingga 31 tahun, termasuk dalang utama sindiket dikenali sebagai Nayeem.
Semakan mendapati dua suspek memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor pembinaan dan pertanian, manakala seorang lagi memiliki Pas Pelajar,” katanya dalam kenyataan.
Antara barangan dirampas ialah 21 pasport Bangladesh, satu pasport Myanmar disyaki palsu, helaian biodata pasport, telefon bimbit, komputer dan sebilah pisau pemotong.
Datuk Zakaria berkata, sindiket terbabit memalsukan pasport bagi tujuan pemeriksaan kesihatan FOMEMA, dengan menggunakan gambar ahli sindiket tetapi memasukkan maklumat peribadi pelanggan.
“Mereka dipercayai mengenakan bayaran RM200 hingga RM350 bagi setiap dokumen, dan beroperasi sejak dua bulan lalu.
Tangkapan ini merupakan kes ketiga tahun ini melibatkan sindiket dengan modus operandi sama,” ujarnya lagi.
Ketiga-tiga suspek kini ditahan bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.