fb fb fb fb fb

Sindiket MyKad palsu terbongkar, dua lelaki ditahan

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 13 Mac- Tindakan seorang lelaki bertaraf Pemastautin Sementara mencetak dan menjual kad pengenalan palsu pada harga RM4,000 hingga RM5,000, dibongkar pihak berkuasa.

Kegiatan itu dihidu selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjalankan siasatan terhadap kerugian berjumlah RM14,000 yang dialami seorang lelaki akibat MyKad miliknya disalah guna.

Ini seterusnya membawa kepada penangkapan seorang lelaki berusia 35 tahun di Kampung Pandan, Kuala Lumpur dan suspek kedua di lokasi pencetakan kad pengenalan palsu di Pandan Indah Ampang, Selangor.

"Jadi, serbuan oleh bahagian siasatan di kediaman tersebut, di lokasi kita tahan seorang lelaki berumur 31 tahun. Dia merupakan pemegang MyKAS, kad pengenalan hijau.

Bila JPN periksa, kita jumpa set kelengkapan peralatan pembuatan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain yang sedang diproses untuk dipalsukan," kata Datuk Seri Saifuddin kepada pemberita, dalam Sidang Media Khas, di sini, hari ini.

Antara peralatan yang dirampas termasuk komputer riba, mesin pencetak, mesin laminasi, cakera keras serta dua MyKad asli dan empat MyKad palsu.

Suspek pertama telah didakwa di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan- Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan.

Sementara itu, suspek kedua didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur Selasa lalu, dituduh di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain.

Sebelum ini, seorang pengguna media sosial, Hafis Aliaziz mendedahkan kad pengenalan miliknya yang hilang 12 tahun lalu telah disalah guna oleh pihak lain dengan membeli telefon bimbit berharga RM14,000.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM