fb fb fb fb fb

Sindiket edar dadah jenis minuman tumpas, nilai rampasan bernilai RM35,300 - JSJN

Foto Ihsan PDRM Pahang

KUANTAN, 12 April- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pahang berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah jenis minuman yang disyaki bercampur dengan bahan dadah berbahaya.

Serbuan yang dilakukan di dua lokasi berbeza sekitar daerah Kuantan itu berjaya menahan seorang lelaki cina berumur 42 tahun.

Hasil serbuan yang dijalankan, pihak polis berjaya merampas 50 cawan jus minuman yang berisi bahan campuran disyaki dadah berbahaya sejumlah 5,272 gram dan 75 kotak jus minuman pelbagai perisi campuran dadah berbahaya sejumlah 17,900 mililiter yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM35,300.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dalam kenyataannya berkata lelaki yang ditahan dalam operasi pukul 12.10 malam tadi, dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di pusat-pusat hiburan sekitar daerah berkenaan.

"Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine serta mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau berkaitan dadah."

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan," kata kenyataan itu.

Suspek direman tujuh hari, bermula hari ini hingga 18 April bagi membantu siasatan.

Melalui tangkapan ini, Polis Pahang berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di pusat-pusat hiburan sekitar daerah Kuantan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan kepada orang awam, jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan atau aktiviti dadah boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Kontinjen Pahang (CCC) atau hubungi talian 09 5051999/2202 dan juga bilik operasi 24 jam JSJN di talian 09 5052287 atau terus ke balai-balai polis berdekatan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM