fb fb fb fb fb

Simbolik persahabatan: Erdogan hadiahkan kereta elektrik kepada Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memandu SUV elektrik TOGG berwarna putih ke Kompleks Seri Perdana bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, hari ini/Foto PMO

PUTRAJAYA, 11 Februari Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, menghadiahkan sebuah kereta elektrik buatan negara itu, TOGG T10X, kepada Malaysia sebagai simbol persahabatan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima hadiah tersebut dan memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik berwarna putih itu ke Kompleks Seri Perdana bersama Erdogan untuk menyaksikan pertukaran perjanjian, sidang media bersama, serta jamuan makan tengah hari.

"Pemberian tersebut mencerminkan komitmen tegas kedua-dua negara untuk tangkas meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai bidang, sama ada di lapangan teknologi, inovasi dan automotif.

"Malaysia dan Republik Turkiye akan terus memperkukuh dan memanfaatkan persahabatan erat yang terjelma serta memungkinkan lembaran baharu dalam hubungan strategik yang pastinya memberi manfaat kepada kedua-dua negara," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

TOGG, ditubuhkan pada tahun 2018, merupakan pengeluar kenderaan elektrik nasional pertama Turkiye. Model T10X adalah SUV elektrik sepenuhnya yang mencerminkan kemajuan teknologi automotif negara tersebut.

Lawatan rasmi dua hari Erdogan ke Malaysia bermula pada 10 Februari atas jemputan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama strategik antara kedua-dua negara. Sepanjang lawatan, Malaysia dan Turkiye menandatangani 11 Memorandum Persefahaman (MoU) yang meliputi bidang seperti peralihan tenaga, pengurusan bencana, pertahanan, perdagangan, dan kerjasama media.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Turkiye mencapai RM24.13 bilion (USD5.28 bilion) pada tahun 2024, menunjukkan peningkatan 18.7% berbanding tahun sebelumnya. Kedua-dua negara berhasrat untuk menggandakan jumlah perdagangan ini kepada USD10 bilion pada masa hadapan.

Erdogan dan delegasinya berlepas ke Jakarta pada 11 Februari selepas menamatkan lawatan rasmi di Malaysia.

GRACE AISYAH KEDAYAN