GEORGE TOWN, 22 Julai- Inisiatif penganjuran aktiviti silang budaya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dilihat sebagai strategi untuk memperkenalkan budaya Malaysia sekali gus menarik pelancong dari negara ASEAN.
Program ASEAN Heritage Train, Enhancing Connectivity Toward Cultural Diversity itu disertai kira-kira 30 peserta dari sembilan buah negara ASEAN.
Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa Kebudayaan (HAK) MOTAC, Dr Christina Yeo Ken Yin berkata peserta masing-masing terlibat dalam tiga kategori budaya iaitu makanan, kraf tangan dan seni persembahan.
"...Malaysia kita ingin mengetengahkan budaya yang unik dan ada yang hampir pupus dan pengisian itu dilihat sangat kuat.
"Jadi setidak-tidaknya ia akan menjadi pemasaran tidak langsung untuk pelancongan kebudayaan kita, khususnya kapada nagra jiran iaitu Thailand dan Laos," katanya kepada pemberita di sini.
Program berkenaan sedang berlangsung di Pulau Pinang dengan pelbagai aktiviti berunsurkan kebudayaan diperkenal kepada peserta termasuk bengkel boria.
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang Eezmadyna Azalim Nordin berkata, boria diangkat dalam program berkenaan berikutan ia merupakan persembahan yang amat popular di negeri itu.
"Kita mengangkat boria sebab ia merupakan produk kesenian tempatan dan sudah kita amalkan sebelum-sebelum ini. Jadi Pulau Pinang merupakan negeri yang terkenal dengan boria," katanya.
Peserta Laos Chanphakesone Souramasing yang pertama kali menyertai program itu berkata, ia sangat bagus kerana ia menonjolkan kesenian dan kebudayaan yang berbeza.
"Ini merupakan kali pertama saya menyertai program ini. Saya fikir ia sagat baik dan kesenian dan kebudayaan yang dipamerkan tidak sama dengan Laos. Berbeza," katanya.
Sementera itu peserta dari Malaysia Mohamad Fadzly Che Omar berkata, idea ini merupakan silang budaya yang cukup berkesan dan perkara yang baik akan dijadikan sebagai panduan.
"Kita belajar tentang budaya dan cara pemakanan sesuatu tempat dan apabila kita bezakan dengan Malaysia memang jauh perbezaan. Itu yang bagi saya satu idea dan inovasi untuk bawa pulang ke Malaysia," katanya.
Program tersebut merentasi tiga buah negara ASEAN iaitu Laos, Thailand dan Malaysia yang menggunakan keretapi sebagai pengangkutan utama.
Sepanjang laluan, peserta terlibat dengan pelbagai kesenian, pameran, bengkel, demonstrasi kraf dan masakan tradisi kawasan masing-masing.