fb fb fb fb fb

Sijil perlindungan harta intelek durian Musang King diperbaharui

Datuk Seri Mohamad Sabu

SERDANG, 19 September- Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) memperbaharui sijil perlindungan harta intelek tempatan bagi durian Musang King untuk tempoh 10 tahun iaitu hingga 12 Mac 2034.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pendaftaran tersebut mengiktiraf reputasi dan kualiti luar biasa raja buah tersebut yang merupakan produk unik negara ini.

"Kita telah mendaftar Durian Musang King sebagai jenama hak Malaysia. Oleh itu, nama ini tidak boleh digunakan oleh mana-mana negara lain.

"Kita telah daftar Durian Musang King sebagai jenama khas daripada Malaysia telah didaftarkan melalui MyIPO," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Buku Pakej Teknologi Durian di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di sini.

Dalam pada itu, MAHA yang berlangsung sejak 11 September lalu berjaya mencapai sasaran tiga juta pengunjung setakat semalam, dan angka itu dijangka akan terus bertambah.

Mohamad Sabu berkata, pencapaian tersebut menggambarkan sokongan jitu daripada masyarakat bagi program tersebut.

Selain mendapat perhatian pengunjung, peniaga yang menyertai MAHA 2024 turut menerima impak jualan positif.

Susulan penganjuran itu, terdapat peniaga yang memperoleh peningkatan pendapatan antara 30 hingga 60 peratus.

Seorang peniaga yang ditemui RTM Mohd Yusri Mohd Ali berkata, jualan pada MAHA 2024 meningkat hingga tiga kali ganda.

"Alhamdulillah, hari pertama pun kami memang tidak menjangka nilai jualan kami melonjak naik. Dianggarkan ia menunjukkan peningkatan tiga kali ganda kira-kira 50 hingga 60 peratus," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI