Sidang Parlimen fokus penggubalan undang-undang reformasi jangka panjang

Datuk Profesor Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Januari – Fungsi Parlimen sebagai institusi penggubal undang-undang negara kekal tidak berubah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sidang Parlimen fokus menggubal undang-undang reformasi berimpak jangka panjang seperti had tempoh Perdana Menteri dan pemisahan Peguam Negara-Pendakwa Raya.
  • Perbahasan Parlimen diharapkan bersifat berfakta, berimbang dan tidak kepartian demi kepentingan negara dan rakyat.
  • Wakil rakyat perlu menyampaikan rasional undang-undang jelas supaya masyarakat faham manfaat dan perlindungan hak mengikut Perlembagaan.

Namun sidang Parlimen kali ini memberi tumpuan kepada penggubalan undang-undang baharu yang dijangka memberi kesan jangka panjang terhadap pembangunan negara serta kebajikan rakyat.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Profesor Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz berpandangan tahun 2026 menjadi penanda aras penting untuk menilai tahap kematangan demokrasi negara melalui perbahasan Parlimen yang berfakta, berimbang dan berpaksikan kepentingan rakyat.

Beliau turut menegaskan harapan rakyat agar perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak bersifat kepartian atau jangka pendek.

Sebaliknya memberi fokus kepada kepentingan negara dalam jangka panjang, khususnya membabitkan rang undang-undang reformasi yang telah diumumkan untuk dibentangkan.

“Contohnya apabila Perdana Menteri mengumumkan beberapa penggubalan undang-undang penting seperti mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, pengasingan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengenalan institusi Ombudsman serta kebebasan maklumat. Keempat-empat undang-undang ini akan memberi kesan jangka panjang kepada negara.

“Kita mengharapkan perbahasan terhadap undang-undang ini oleh wakil rakyat dapat memberikan kefahaman kepada masyarakat supaya rakyat dapat menghargai mengapa kerajaan perlu menggubal undang-undang sebegini. Inilah fungsi Parlimen sebagai mekanisme untuk memastikan undang-undang yang dibuat memberi manfaat kepada negara dan menjamin hak rakyat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau ditemui media RTM selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Kota Media Angkasapuri.

Beliau turut menegaskan perbahasan berkaitan rang undang-undang tersebut perlu disampaikan secara jelas oleh wakil rakyat bagi memastikan rakyat memahami rasional serta kepentingan reformasi yang dilaksanakan.

Majlis Konvensyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan