
LANGKAWI, 19 Mei – Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin merangkap Komander Rejimen 513 berangkat mencemar duli ke Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 39/2026 di Langkawi.
- Menekankan kepentingan memperkasakan kepakaran profesional anggota Askar Wataniah, termasuk teknologi dan keselamatan siber untuk menghadapi cabaran keselamatan semasa.
- Program tiga hari menghimpunkan 33 ahli sidang daripada Komander Rejimen Siri 500, pasukan pakar serta wakil formasi, BCJ dan markas Tentera Darat.
- Mesyuarat dipengerusikan Timbalan Panglima Tentera Darat, menandakan kepimpinan tinggi dan sokongan institusi terhadap peranan Askar Wataniah.
- Acara Fun Run hampir 2,300 peserta menunjukkan ikatan erat antara tentera dan masyarakat serta memupuk semangat kesukarelawanan dan patriotisme.
Dalam Titah Utama, baginda menegaskan kepentingan memperkasakan kepakaran profesional warga Askar Wataniah termasuk dalam bidang teknologi dan keselamatan siber bagi menghadapi cabaran keselamatan semasa.
Program selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Mei lalu menghimpunkan kepimpinan pasukan simpanan tentera dari seluruh negara, melibatkan 33 ahli sidang terdiri daripada Komander Rejimen Siri 500 Askar Wataniah, Komander Pasukan Pakar Askar Wataniah serta wakil formasi dan Bahagian, Cawangan dan Jabatanarah (BCJ) Markas Tentera Darat.
Berkenan berangkat antaranya, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Tunku Besar Seri Menanti Negeri Sembilan, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Mesyuarat SKAW Siri 39/2026 dipengerusikan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad.
Sebelum delegasi berangkat pulang, turut dianjurkan acara Fun Run 5 kilometer yang menghimpunkan hampir 2,300 peserta termasuk rakyat jelata, agensi kerajaan serta swasta di seluruh Pulau Langkawi.
Penganjuran SKAW Siri 39/2026 mencerminkan komitmen berterusan Tentera Darat Malaysia dalam memperkasakan peranan Askar Wataniah sebagai komponen penting pertahanan negara selain menjadi platform mempererat semangat kesukarelawanan, patriotisme dan kerjasama antara tentera dan masyarakat.