BESS Santong bukti keupayaan tinggi kepakaran tempatan

Foto RTM

DUNGUN, 19 Mei Kejayaan projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri, (BESS) Santong membuktikan keupayaan tinggi kepakaran tempatan dalam memacu industri teknologi hijau negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek RM300 juta menjadi penanda aras untuk meneroka potensi simpanan tenaga berskala besar di Malaysia.
  • MSRGE bermula sebagai pengeluar panel suria 12 tahun lalu dan menyasarkan pembekalan tenaga hijau sehingga 5 GW untuk pusat data.
  • Projek berdepan cabaran tapak paya, tempoh singkat enam bulan dan memerlukan kepakaran geoteknik kerja siang malam.
  • Sungrow komited melabur di Malaysia; melihat dasar stabil, pesatnya pembangunan BESS dan peluang besar bagi pusat data serta AIGC.

Pengarah MSR Green Energy, (MSRGE) Vernon Ong berkata, projek bernilai RM300 juta itu menjadi penanda aras penting buat Malaysia untuk terus meneroka potensi simpanan tenaga berskala besar.

Tambahnya, MSRGE yang bermula sebagai pengeluar solar panel sejak 12 tahun lalu itu kini menyasarkan pembekalan tenaga hijau sehingga lima gigawatt, bertujuan menyokong permintaan industry pusat data negara.

Selain itu, Vernon memaklumkan syarikat berkenaan turut merancang untuk membina stesen kuasa solar di Malaysia dengan sokongan sistem grid Tenaga Nasional Berhad, (TNB) sebagai pelan luar jangka.

“Ini memang kawasan paya. Jadi pasukan kita bekerja siang dan malam untuk memastikan tidak berlaku kesilapan. Kita diberi tempoh singkat iaitu enam bulan sahaja. Ia amat mencabar kerana memerlukan kepakaran geoteknik.

“Pada masa depan sudah tentu syarikat mahu meluaskan pengunaan teknologi tenaga hijau. Ini termasuk dalam projek sumber boleh baharu seperti solar, angin dan hidro. Perkara itu tidak mustahil,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian BESS Santong milik TNB di Paka, Dungun, semalam.

Sementara itu, Pengurus Besar Wilayah Sungrow Power Suppy, Luis Xu turut menyatakan hasrat besar syarikat gergasi dunia itu dalam penglibatan dan pelaburan berkaitan teknologi hijau di Malaysia.

“Dasar Malaysia sangat stabil. Sungrow juga sudah berada dalam pasaran Malaysia selama lebih daripada 10 tahun.

“Ketika ini, Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Malaysia berkembang dengan sangat pesat. Terdapat banyak projek seperti MYBESS, CRESS dan beberapa projek lain. Kami amat berminat untuk menyertainya.

“Kami melihat Malaysia kini sebagai antara pasaran terbesar bagi AIGC. Banyak pusat data datang ke Malaysia untuk membina dan menubuhkan fasiliti mereka di sini. Jadi, kami melihatnya sebagai peluang yang sangat baik,” tambahnya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.