LABUAN, 19 Januari- Warga Labuan diseru untuk bersama-sama mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan sebagai tanda semangat patriotik dalam Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2025.
Kempen yang membawa tema "Wilayah Persekutuan Kita" bertujuan untuk menyemarakkan semangat cintakan Wilayah Persekutuan dan memperkukuh rasa kebersamaan dalam kalangan warganya.
Pelancaran kempen itu telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa (KSLA) Labuan, pagi tadi.
"Kibarlah bendera Wilayah Persekutuan Labuan di setiap ruang yang ada khususnya di setiap premis dan kediaman sebagai tanda semangat patriotik dan kebanggaan kita sebagai warga Wilayah Persekutuan," ujar Simsudin.
Kempen itu berlangsung sepanjang Januari hingga Februari 2025 dan turut disertakan dengan program-program seperti 'Labuan Car Free Morning', 'Labuan Pearl of Borneo Explorace Challenge' dan Program Bersih Semua Tempat (BeST) yang diadakan serentak pagi tadi.
Tahun ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya menyambut ulang tahun ke-51 sejak pengisytiharan ketiga-tiga wilayah tersebut sebagai Wilayah Persekutuan.