fb fb fb fb fb

SHMMP: KPDN terima 1,478 aduan pelanggaran harga

Timbalan Menteri KPDN, Dr Fuziah Salleh meninjau Jualan Rahmah Mega Aidilfitri di Kuantan/ Foto Facebook Dr Fuziah Salleh

KUANTAN, 28 Mac- Sebanyak 1,478 aduan berkaitan pelanggaran harga maksimum di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) setakat ini di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 378 kes sedang disiasat melibatkan pelbagai kesalahan termasuk kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga merah jambu, selain menjual barangan melebihi harga siling.

Timbalan Menteri KPDN, Dr Fuziah Salleh berkata, di Pahang sebanyak 53 aduan telah diterima dengan 18 kes telah disiasat, termasuk dua kes menjual barangan pada harga lebih tinggi daripada yang ditetapkan ketika SHMMP.

Beliau berkata, secara umumnya kesalahan tersebut dilakukan oleh peniaga kedai runcit memandangkan pasar raya besar, sedia maklum sebarang perubahan harga SHMMP.

"Bila kita letakkan 24 item di Semenanjung untuk harga maksimum, kita tidak boleh jual lebih dari harga tersebut dalam masa 15 hari ini, itu maksud Skim Harga Maksimum Musim Perayaan. Kalau dalam tempoh ini, daripada 24 hari bulan hingga 7 April, mereka jual santan lebih dari RM17.50, itu boleh dibuat aduan dan boleh diambil tindakan", katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media pada Program Jualan Rahmah MADANI Mega Aidilfitri di hadapan pasar nelayan Pantai Sepat di Kuantan, Pahang.

Program jualan sempena Aidilfitri itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini, menawarkan barangan persiapan raya dengan potongan harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah dari pasaran yang dijangka memberi manfaat kepada 5,000 pengguna.

Selain itu, 1000 pengunjung terawal akan menerima insentif berbentuk e-dompet bernilai RM20.

ROSLINA BINTI DIN