BUKIT MERTAJAM, 28 Mac- Polis Pulau Pinang bakal memberi tumpuan kepada lapan lokasi yang kerap berlaku kemalangan (blackspot) dan kesesakan (hotspot) di lima daerah dalam negeri itu sepanjang Op Selamat 24 sempena Hari Raya Aidilfitri 2025.
Antaranya Jalan Teluk Air Tawar-Jalan Bagan Luar, Jalan Perusahaan Feri-Jalan Kulim, Jalan Besar Simpang Ampat, Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu dan sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua lokasi yang dikenal pasti dijangka mengalami kesesakan trafik, selain berisiko tinggi untuk berlaku kemalangan.
“Kita akan buat pemantauan yang lebih rapi di kawasan-kawasan tersebut bagi mengurangkan risiko kemalangan khususnya. Bagi kesalahan yang selalu dibuat oleh pengguna jalan raya kita dapati setiap tahun perkara selalu berulang melanggar lampu merah, memotong barisan, guna lorong kecemasan.
"Ini yang selalu berlaku di lebuh raya dan yang tidak kurang banyaknya menggunakan telefon semasa memandu", katanya kepada media selepas Majlis Advokasi Sempena Op Selamat 24/2025 sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat PDRM Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Juru (arah utara).
Op terbabit berlangsung selama enam hari bermula esok melibatkan seramai 331 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang dan beberapa jabatan lain, kontinjen termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) serta PLUS Berhad.
Berdasarkan statistik kemalangan, pada Op Selamat 2024, sebanyak 7,77 kes dilaporkan, manakala pada 2023 sebanyak 681 kes.
Tambahnya, masyarakat turut dinasihatkan memaklmumkan di balai polis berhampiran ketika pulang ke kampung.
Ia boleh dibuat menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan pihak polis akan melakukan rondaan secara rutin ke rumah-rumah yang berdaftar.