fb fb fb fb fb

SHMMP Deepavali akan diumumkan pada 6 November

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh ditemui media selepas tinjauan harga ayam di Pasar Awam Kajang di sini

KAJANG, 3 November - Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi perayaan Deepavali akan diumumkan pada 6 November ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Kawalan harga itu akan diletakkan pada harga maksimum berdasarkan keperluan barangan asas musim perayaan dan ia dilaksanakan bersempena perayaan itu tidak lama lagi.

"Kita akan mengawalnya selama tujuh hari sebelum dan selepas Deepavali dan pemantauan akan sentiasa dibuat di mana-mana lokasi,” kata Fuziah, di sini.

Untuk pelaksanaan pengapungan harga ayam, Fuziah berkata pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan dan memastikan peniaga dan pengeluar tidak mengambil kesempatan.

Beliau berkata peniaga boleh dikenakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan jika harga
harga yang ditetapkan mereka tidak munasabah, manakala kepada pengeluar atau kartel mereka tertakluk pada Akta Persaingan.

“Saya kira ada beberapa peniaga masih tidak berapa jelas berhubung pengapungan harga ayam, sebab ada yang tanya kepada saya apa maksud apung dan ada peniaga yang menambah kos tambahan seperti upah potongan dan sebagainya dan sekiranya berlaku, ia menyalahi undang-undang.

“Kita juga akan mengawal di peringkat pengeluaran menggunakan Akta Persaingan, sebagai contoh apabila berlakunya pakatan antara kartel untuk menaikkan harga di peringkat pengeluaran, bagi memastikan kartel tidak mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau berkata perkara itu mungkin akan berlaku sekiranya pihak terbabit berpakat menaikkan harga seperti harga makanan ayam di peringkat pengeluaran dan itu akan memberi kesan di peringkat bawah seperti peruncit dan pengguna.

TETITIA YUSOFF