GEORGE TOWN, 9 Januari - Sesat hampir 24 jam, seorang wanita ditemukan selamat ketika melakukan aktiviti pendakian di Taman Botani, Jalan Kebun Bunga di sini semalam.
Mangsa berusia 30-an ditemui oleh pasukan bomba kira-kira dua kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan tersesat.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 4.04 petang semalam daripada wanita berkenaan.
"Mangsa menghubungi pihak bomba mendakwa dia tersesat ketika mendaki di kawasan itu dan kali terakhir wanita berkenaan dapat dihubungi ialah pada 7.30 malam semalam.
"Operasi pencarian pada waktu malam diteruskan namun gagal menemukan mangsa.
"Komander operasi membuat keputusan untuk menangguhkan sementara operasi pada 2.15 pagi tadi kerana tiada petunjuk lokasi mangsa berada pada ketika itu," katanya di sini hari ini.
Operasi disertai oleh 44 petugas terdiri daripada 12 anggota bomba, PBS (dua orang), polis (11 orang) dan Angkatan Pertahanan Awam (19 orang) serta bantuan daripada pendaki yang mahir dengan laluan di situ.
Tambahnya lagi, operasi dijalankan di kawasan Air Terjun Botani dengan jarak dua kilometer dari kaki bukit.
Pencarian dibahagikan kepada empat sektor bermula dari kawasan air terjun dengan radius dua kilometer.
Mangsa tidak mengalami kecederaan namun dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut.
Operasi tamat pada jam 4.45 petang.