TANAH MERAH, 10 Mei - Kehadiran tiga gajah liar yang dipercayai keluar dari hutan di Kampung Air Merah, Batu Gajah, di sini kerana mencari makanan menimbulkan keresahan pekebun di kawasan tersebut.
Pemilik kebun, Abu Sufian Hassan, 42, berkata tahun ini, sebanyak tiga kali kebun pisang seluas dua ekar yang diusahakannya diserang gajah liar.
Beliau berkata, kejadian terkini disedari oleh penduduk Sabtu lalu apabila sebanyak 300 pokok-pokok pisang di kebunnya patah dan tumbang.
“Pokok-pokok pisang ketika ini berusia enam bulan dan sedang berbuah selepas ditanam bermula November tahun lalu.
“Buah-buah ini sepatutnya sudah boleh dikutip dalam tempoh dua bulan lagi tetapi malangnya banyak yang dimusnahkan dan rosak akibat serangan gajah-gajah,” kata Abu Sufian ketika ditemui pemberita.
Tambah Abu Sufian, walaupun kebunnya telah dilengkapi pagar elektrik namun ianya tidak memberi kesan terhadap gajah-gajah liar tersebut.
Seorang lagi pekebun, Rohana Mat Nor, 42, turut bersedih dengan kejadian itu kerana kebunnya yang dahulu mempunyai sebanyak 1,000 pokok pisang kini telah tinggal separuh kerana dirosakkan oleh gajah berkenaan.
“Serangan ini bukan kali pertama malah sudah kali ketiga gajah-gajah ini datang dan merosakkan tanaman.
“Saya sendiri keseluruhan sudah lebih 1,000 tandan pisang musnah akibat gajah-gajah liar. Sebelum puasa dalam 300 rosak, separuh jugaklah, kali ini dalam 50 ke 60 jugalah," katanya.
Serangan gajah liar itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan dan Pejabat Pertanian Tanah Merah.
Pegawai yang terlibat telah melakukan pemeriksaan untuk tindakan selanjutnya.