Seorang maut, 3 cedera kemalangan di Jalan Pesisir Bintulu

BINTULU, 12 November – Seorang lelaki warga Indonesia maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dengan kenderaan pacuan empat roda di hadapan stesen minyak Shell Samalaju, Jalan Persisir Bintulu – Miri petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan bomba dari BBP Kidurong dikerahkan selepas panggilan kecemasan diterima pada pukul 5.33 petang.
  • Satu maut warga Indonesia di tempat kejadian; tiga lagi termasuk pemandu treler cedera.
  • Mangsa cedera diberi rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima pada pukul 5.33 petang dan sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong dikerahkan ke lokasi dengan sebuah jentera FRT.

Kenderaan pacuan empat roda berkenaan dinaiki dua lelaki iaitu Kelimen Jundie, 45 tahun, yang cedera, dan Ahmad Sucipto, warga Indonesia yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, pemandu treler, Johari Lamat, 44 tahun, cedera di bahagian kaki kiri, manakala kelindannya, Defri, warga Indonesia, mengalami kecederaan ringan.

Semua mangsa yang cedera menerima rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.