DUNGUN, 24 Ogos -Seorang lagi peserta Himpunan RXZ 7.0 maut selepas terbabit dalam satu kemalangan di sini, petang tadi ketika dalam perjalanan pulang ke Johor.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi berkata mekmaklumkan, mayat mangsa Muhammad Irfan Izzuddin Md Azhli, 20 tahun, dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 1.22 petang tadi, di kilometer 342.9 Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran Kawasan Rawat dan Rehat (RnR) Paka ketika mereka berkonvoi.
Dalam kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederan parah pada bahagian kepala.
Mangsa seorang pembantu kedai makan dalam perjalanan pulang ke Segamat, Johor, bersama 10 lagi rakannya sedang berkonvoi pulang dari himpunan itu, di Kuala Terengganu.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh serta terseret beberapa meter di kanan jalan.
Sepasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian selepas itu mengesahkan mangsa telah meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Kes berkenaan akan disiasat bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.