
KUANTAN, 5 April -Seorang lagi pelajar tingkatan dua yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Pahang di Kampung Durian Hijau, Jerantut pada Jumaat ditemukan lemas pagi tadi.
- Mangsa Muhammad Amirul Ashraf Abdullah, 14, ditemukan pada 9.50 pagi kira-kira tiga kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.
- Mayat ditemukan oleh orang awam dan diserahkan kepada polis pada 10.15 pagi untuk tindakan lanjut.
- Operasi SAR hari ketiga melibatkan BBP Jerantut, Pasukan Penyelamat Di Air Bukit Angin serta bantuan PDRM, APM dan penduduk kampung.
- Semalam rakan mangsa, Muhammad Danial Haikal Shamsudin, 14, ditemukan lemas pada 4.20 petang kira-kira dua kilometer dari lokasi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata, mangsa Muhammad Amirul Ashraf Abdullah, 14, ditemukan pada 9.50 pagi kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa ditemukan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis pada 10.15 pagi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
Semalam, media melaporkan rakan mangsa Muhammad Danial Haikal Shamsudin, 14, ditemukan lemas pada 4.20 petang kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai.