fb fb fb fb fb

Semua stesen televisyen, radio digesa siar bacaan doa Qunut Nazilah - Fahmi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Semua stesen televisyen dan radio di seluruh negara digesa menyiarkan bacaan doa Qunut Nazilah dalam slot-slot siaran utama.

Gesaan itu dibuat Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Katanya, doa dan solidariti rakyat Malaysia amat penting dalam menghadapi saat getir itu susulan tindakan rejim Zionis Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa dengan memintas serta menahan pasukan Global Sumud Flotilla (GSF).

Datuk Fahmi turut mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mempertingkatkan pemantauan terhadap segala kandungan berkaitan konflik berkenaan di ruang siber Malaysia.

"Tindakan tegas dan segera akan dilaksanakan terhadap sebarang cubaan untuk menyebarkan propaganda Zionis atau naratif yang bersifat hasutan, serta menjejaskan keharmonian dan sensitiviti awam.

"Seluruh rakyat Malaysia juga disaran untuk merujuk maklumat yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar dan sumber-sumber rasmi, termasuk saluran rasmi Sumud Nusantara Command Centre yang dikendalikan oleh MAPIM (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia), bagi mengelakkan penyebaran berita palsu atau tidak sahih," katanya menerusi kenyataan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM