fb fb fb fb fb

Selangor sudah ada pilihan tarikh bubar DUN

(Amirudin Shari)

SABAK BERNAM, 9 Jun- Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi bayangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mungkin akan berlaku sebelum pembubaran secara automatik pada 25 Jun ini.

Beliau menjelaskan, pihaknya sudah mempunyai beberapa tarikh sesuai dan permohonan pembubaran DUN itu akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Yang pohon (pembubaran DUN) adalah menteri besar dan meluluskan atau perkenan adalah Tuanku (Sultan Sharafuddin) dan kedua-duanya belum berlaku, jadi apa-apa tarikh itu masih bayangan atau tidak benar.

"Kita dah ada beberapa pilihan tarikh, yang pastinya kita akan cuba buat sebelum 25 Jun ini," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pengenalan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) di Nazbell Cottage and Garden di sini.

Beliau juga akan berbincang dengan Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai tarikh sesuai pembubaran DUN Selangor.

Sementara itu, mengenai pembahagian kerusi bagi pilihan raya negeri di Selangor membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah hampir selesai dengan kini hanya tinggal tiga kerusi sahaja yang belum dimuktamadkan.

Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata, ia adalah perkembangan yang baik kerana sebelum ini terdapat tujuh kerusi yang masih belum diselesaikan.

(Amirudin Shari)

Media Baharu