SHAH ALAM, 12 Oktober- Selangor bersiap sedia menghadapi fenomena air pasang besar yang diramal berlaku pada 17 hingga 21 Oktober ini, selain peralihan Monsun Timur Laut (MTL) bermula awal November ini sehingga Mac 2025.
Exco Belia dan Sukan dan Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata persediaan awal termasuk melakukan simulasi yang melibatkan 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Ia termasuk persediaan penambahbaikan projek ban dan pemantauan kawasan kerap dilanda banjir.
"Kita memang telah melakukan persiapan daripada awal lagi, minggu lepas pun kita telah menjalankan program latihan dan juga simulasi melibatkan 12 PBT dan sembilan pejabat-pejabat daerah."
"Mereka ini turun dengan barisan anggota untuk membantu, belajar apa kaedah dan juga teknik terbaik untuk persiapan itu nanti. Selain itu, kita pun telah membuat analisis keputusan untuk terus memantau, menambah baik projek ban dan juga projek mitigasi banjir yang telah dilaksanakan."
"Kita nak tahap kesiapsiagaan yang tinggi demi keselamatan penduduk. Jadi, kita sentiasa memantau lokasi berisiko dan anggota serta pegawai sedia dikerah pada bila-bila masa," kata Mohd Najwan kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2024 peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, yang dihadiri lebih 2,000 pengunjung.
Terdahulu, Exco Infrastruktur Selangor, Ir. Izham Hashim meminta penduduk di kawasan pesisir pantai di Selangor supaya berwaspada berdepan ramalan fenomena air pasang besar, bermula 17 Oktober ini.
Bacaan paras air laut disasar meningkat sehingga mencecah ketinggian 5.8 meter pada 18 Oktober.