fb fb fb fb fb

Selangor lancar Draf Rancangan Struktur Negeri 2035

Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM, 9 Mei- Kerajaan Selangor melancarkan Draf Rancangan Struktur (RS) Negeri Selangor 2035 (Pengubahan), satu dokumen perancangan bagi melengkapi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025, dalam mengawal pembangunan fizikal negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, draf itu merupakan kajian semula kepada Rancangan Struktur Negeri Selangor, yang belum pernah dipinda atau ditambah baik sejak diwartakan pada 2 Feb 2017.

Perkara itu juga bertujuan memastikan perancangan, dasar dan polisi negeri selari di peringkat antarabangsa, Persekutuan dan negeri.

Ia bagi memastikan matlamat menjadikan 'Selangor Negeri Idaman, Maju dan Sejahtera' tercapai.

Draf itu menggariskan 17 Hala Tuju strategik, 73 Dasar dan 522 Inisiatif Pelaksanaan, yang akan menjadi tonggak dalam memandu arah pemabngunan negeri Selangor untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Laporan Draf RS Negeri Selangor 2035 (Pengubahan) ini akan dipamerkan bermula hari ini sehingga 9 Jun depan dan orang ramai boleh mengemukakan bantahan, pandangan dan rayuan terhadap apa-apa cadangan yang terkandung dalam dokumen tersebut.

"Sebarang maklum balas atau bantahan amat dialu-alukan, agar perancangan ini tidak menjadi pelan yang gagal, sebaliknya memberi faedah kepada rakyat selain memudahkan pihak pelaksana melaksana dan mengurus projek pembangunan sebagaimana yang digariskan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (Pengubahan), di sini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata dokumen tersebut turut memberi tumpuan kepada cadangan pembangunan di kawasan pinggir bandar, sebagai pemangkin kepada kerancakan pembangunan sedia ada di bandar tersebut.

"Diharap Draf RS ini dapat dijadikan rujukan oleh agensi kerajaan dan bukan kerajaan, pihak berkepentingan dan juga pemain industri, untuk bersama-sama memaju dan membangunkan Selangor menjelang 2035 selaras dengan pembangunan Malaysia MADANI," katanya.

Berkenaan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Amirudin menyifatkan ia berjalan dengan tenang tanpa sebarang isu.

"Kita sangat mengambil kira semua keadaan dan diharapkan ia membawa sesuatu yang positif kepada kami sebab tiada isu besar yang ditimpakan kepada kita untuk dijelaskan.

"Jelas tiada skandal atau isu lain. Mungkin yang ada ialah propaganda tetapi telah dijawab. Tetapi pada masa sama kita perlu sedar kadang-kadang ada keputusan berbeza daripada orang awam," katanya.

Amirudin juga mengakui kempen secara rumah ke rumah sebagai langkah tepat untuk mendekati rakyat berbanding mengadakan ceramah politik, seiring dengan situasi kini maklumat yang berada di hujung jari.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI