fb fb fb fb fb

Sekolah politik akan diketuai MB Pahang - Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

TEMERLOH, 27 Oktober- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan mengetuai sekolah politik yang ditubuhkan Barisan Nasional (BN) bawah biro latihan dan perkaderan UMNO Malaysia, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau juga memaklumkan sekolah berkenaan berperanan melatih generasi muda yang dilihat menjadi potensi untuk diketengahkan sebagai pelapis pemimpin parti.

Perkara itu juga termasuk pemilihan bakal calon pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

"Perkara itu telah diputuskan dalam majlis tertinggi dua bulan lalu. Jadi sekarang kami sedang menyusun dan saya harap Datuk Seri Wan Rosdy dapat memperincikannya dalam waktu terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen BN Negeri Pahang 2024 di Dewan Tun Razak Temerloh, di sini yang turut dihadiri Datuk Seri Wan Rosdy dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Berkenaan senarai calon, ia akan diperolehi daripada Pengerusi BN negeri dan prestasi peserta akan dinilai sepanjang menghadiri sekolah berkenaan.

Sekolah tersebut akan menyediakan teori dan amali kepimpinan yang ditubuhkan di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) Janda Baik.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI