fb fb fb fb fb

Sekolah Kebangsaan Tun Abdul Razak bakal terima bangunan gantian

Datuk Seri Ahmad Maslan

HULU SELANGOR, 23 April- Sekolah Kebangsaan Tun Abdul Razak di Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor yang menempatkan anak anak orang asli bakal menerima bangunan gantian.

Perkara itu bagi menampung keperluan pembelajaran yang lebih kondusif, lengkap untuk pembelajaran selain memberikan keselesaan dan selamat kepada pelajar.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek kerajaan persekutuan itu adalah bawah kementeriannya dan dijangka siap pada Julai 2025 dengan kos RM7 juta.

"Saya datang untuk melihat perkembangan dan permasalahan kontraktor lama telah ditamatkan kerana projek ini diambil alih kontraktor lain dan bangunan yang akan dibina setinggi tiga tingkat akan siap pada Julai 2025 dengan kos anggaran RM7 juta.

"Ia meliputi bangunan tiga tingkat, kerja sistem saluran air permukaan, kerja sistem retikulasi air dan kerja penggantian pintu utama, pagar serta pintu pagar menggunakan Sistem Binaan Perindustrian (IBS). Saya yakin kontraktor penyelamat ini akan menyiapkan dalam tempoh diberikan," katanya selepas meninjau kemajuan projek Pembinaan Bangunan Gantian Sekolah tersebut di Kuala Kubu Baharu, di sini.

Kini sekolah berkenaan dalam proses penggantian fasiliti dan ia menempatkan seramai 131 murid masyarakat orang asli.

Sekolah yang pernah menerima Anugerah Sekolah Cemerlang Kategori Sekolah Asli pada 2009 itu turut mempunyai blok asrama sebagai kemudahan golongan itu dari seluruh daerah Hulu Selangor.

Sekolah berkenaan mempunyai sembilan bilik darjah dan tiga daripadanya menggunakan bilik di blok asrama.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI