KUALA LUMPUR, 12 Jun- Pelaksanaan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) diperluas dan ditambah jumlahnya daripada 12 buah sekolah sedia ada kepada 17 buah sekolah.
Timbalan Menteri Pendidikan (KPM), Lim Hui Ying berkata model K9 diwujudkan bagi menangani masalah keciciran pelajar terutamanya di kawasan pedalaman.
Jelasnya, ketika ini KPM juga sedang melaksanakan projek rintis Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) di dua lokasi di Pahang dan Sarawak bagi memastikan murid kekal dalam pengajian sehingga ke tingkatan 5 .
"KPM juga memperluaskan konsep K9 kepada sekolah komprensif K11. Ini satu inisiatif memberikan akses pendidikan yang lebih menyeluruh daripada peringkat rendah hingga peringkat menengah sehingga 11 tahun. Daripada tahun 1 hingga tingkatan 5. Konsep K11 juga dilihat mampu mengurangkan kadar transisi murid daripada tingkatan 3 ke tingkatan 4. Atau transisi daripada peringkat menengah rendah ke menengah atas. K11 juga akan menjadi inisiatif KPM memastikan kawasan dikenal pasti dapat menamatkan pengajian 11 tahun," katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berhubung langkah KPM membantu pelajar sekolah rendah dan menengah yang telah tercicir pengajian disebabkan masalah kemiskinan.
Jelasnya, selain pelaksanaan K9 dan K11, KPM turut menyediakan 18 jenis bantuan persekolahan bagi tahun ini.
Ia meliputi 13 bantuan khusus dan lima jenis bantuan umum bagi menarik minat pelajar meneruskan pengajian di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Menerusi model K9, pelajar akan menghabiskan masa sembilan tahun di sekolah sama bagi mengikuti pembelajaran bermula tahun satu hingga tingkatan tiga.
Manakala, K11 akan memberi peluang pelajar mendapatkan pendidikan dari tahun 1 sehingga tingkatan lima.
(Foto BERNAMA)