fb fb fb fb fb

SejaTi MADANI: Projek tembikai susu jana pendapatan komuniti Pendang

Datuk Dr. Zulkifly (TENGAH) meninjau Projek Tembikai Susu berkenaan di Kampung Sungai Tiang A, Pendang

PENDANG, 24 Februari- Projek tanaman tembikai susu yang diusahakan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Sungai Tiang A di Pendang, Kedah menunjukkan perkembangan positif.
 
Projek Kampung Pertanian Pintar MADANI dengan kerjasama Syarikat Vessel Pro Sdn Bhd itu melibatkan peruntukkan berjumlah RM100,000 bawah Program SejaTi MADANI.
 
Timbalan Pengerusi Penyelaras JPKKP Pakatan Harapan Negeri Kedah, Datuk Dr. Zulkifly Mohamad berkata projek ini dijalankan menggunakan teknologi rumah pelindung fertigasi.
 
Pada peringkat permulaan sebanyak 700 pokok telah ditanam dan mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga bulan.
 
Setiap pokok mampu mengeluarkan buah dengan berat purata antara 1.5 kilogram hingga 4 kilogram sebiji.
 
Beliau berkata, walaupun dilakukan pada skala kecil, namun hasil jualan berada pada tahap yang memuaskan iaitu antara RM5,000 hingga RM7,000 semusim.
 
Keuntungan daripada projek tersebut akan digunakan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti dan program melibatkan komuniti setempat.

"Jadi inilah hasilnya, setiap tiga bulan dapat RM5,000 dan ianya dijalankan di Kampung Baru Sungai Tiang serta diusahakan bersama masyarakat kampung menerusi imbuhan geran oleh SejaTi MADANI.

"Jadi insha-Allah bagi pihak kami semua mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi bantuan kepada masyarakat kampung untuk menjana pendapatan bagi kegunaan masyarakat," katanya.
 
Beliau berharap, projek yang dilaksanakan akan memberi impak positif ke arah meningkatkan tahap sosio-ekonomi komuniti setempat seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Datuk Dr. Zulkifly yang juga Ketua Cabang PKR Pendang berkata demikian selepas meninjau Projek Tembikai Susu berkenaan di Kampung Sungai Tiang A, Pendang.
 
SejaTi MADANI adalah inisiatif baharu Kerajaan Perpaduan, yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE