KANGAR, 26 April - Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan umat Islam untuk mempraktikkan amalan menyebarkan kasih sayang sesama Muslim dan masyarakat bagi membentuk perpaduan ummah yang lebih kukuh dan erat.
Titah baginda, umat Islam perlu hidup bermasyarakat kerana dengan perpaduan serta muafakat inilah akan terhasilnya kasih sayang, saling menghormati dan mengambil berat antara satu sama lain.
"Dengan adanya rasa kasih sayang, manusia memperolehi kedamaian, keamanan dan rasa empati terhadap orang lain serta mendorong manusia untuk membantu meringankan penderitaan yang dialami orang lain.
(Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyerahkan sumbangan
agihan zakat MAIPs kepada seramai 20 orang asnaf terpilih)
"Sebaliknya, tanpa kasih sayang, manusia akan mementingkan diri sendiri, bersikap tertutup, tidak peka, tidak memikirkan kepentingan orang lain dan sebagainya,"
Demikian titah baginda ketika menyempurnakan Program Hijrah Minda MAIPs di Masjid Tun Abdul Razak Repoh, di sini.
Tuanku Syed Faizuddin juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 20 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan.