PUTRAJAYA, 7 Januari - Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) 3.0 menawarkan pemberian e-rebat kepada pengguna yang boleh ditebus hingga RM400 serta lebih banyak pilihan peralatan elektrik.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pemberian e-rebat untuk pembelian peralatan elektrik cekap tenaga berlabel 4 atau 5 Bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi tahun ini.
Program SAVE 3.0 merupakan kesinambungan daripada Program SAVE 1.0 dan SAVE 2.0 dengan penambahan jenis peralatan elektrik cekap tenaga.
Katanya, sebelum ini SAVE 2.0 hanya terhad kepada alat penyaman udara atau peti sejuk dengan nilai rebat sebanyak RM200.
"Program SAVE 3.0 menawarkan pelbagai pilihan peralatan seperti peti sejuk atau penyaman udara, manakala kategori dua bagi pembelian televisyen, mesin basuh, ketuhar, gelombang mikro dan periuk nasi," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
"Bagi peralatan elektrik di bawah Kategori satu, nilai e-rebat yang boleh ditebus untuk pembelian peti sejuk atau penyaman udara ialah RM200,"
"Kategori dua pula, nilai e-rebat yang disediakan adalah RM200 bagi televisyen, RM200 bagi mesin basuh, RM100 bagi ketuhar gelombang mikro atau RM50 bagi periuk nasi," katanya.
Bagaimanapun, penerima e-rebat Program SAVE 2.0, tidak layak untuk memohon bagi kategori satu Program SAVE 3.0.
Permohonan SAVE 3.0 untuk warganegara Malaysia adalah terhad kepada satu akaun bil elektrik bagi pembelian dalam tahun ini yang berdasarkan kepada konsep 'first come first serve' bermula hari ini.
Menurutnya insentif e-rebat bertujuan menggalakkan lebih ramai pengguna elektrik melaksanakan amalan cekap tenaga sekali gus menyumbang kepada penjimatan penggunaan tenaga dan bil elektrik.
Jelasnya, ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyasarkan penjimatan tenaga sebanyak 153 GigaWattjoule (GWj) bersamaan dengan RM60.45 juta serta mampu mengurangkan pelepasan 103,890 tan karbon dioksida (CO2) bagi setiap tahun.
Pengguna boleh memohon dan mendapatkan e-rebat mulai 7 Januari 2022 melalui dua kaedah iaitu dengan membawa bil elektrik terkini dan membuat pembelian secara fizikal di kedai-kedai elektrik/pasar raya berdaftar atau memohon e-rebat dan membuat pembelian secara dalam talian menerusi platform e-dagang yang diiktiraf seperti Shopee, Lazada dan PG Mall.