fb fb fb fb fb

Sarawak sasar 3 juta pelancong menjelang 2023

KUCHING, 30 November - Sarawak menyasarkan ketibaan tiga juta pelancong ke negeri Bumi Kenyalang itu tahun depan, dengan jangkaan perolehan hasil sektor pelancongan yang menjangkau sehingga RM7.25 bilion.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sasaran itu dibuat berdasarkan kepada trend ketibaan pelancong ke Sarawak yang semakin meningkat sejak beberapa bulan lepas.

Katanya sejak bulan Januari hingga Oktober lepas, Sarawak menyaksikan ketibaan 1,378,017 pelancong, dan beliau yakin jumlah ketibaan keseluruhan tahun ini boleh menjangku 1.8 orang, melepasi sasaran 1.2 pelancong tahun ini.

“Semasa sektor pelancongan antarabangsa sedang bangkit semula secara beransur, pelancongan domestik akan terus memacu pemulihan industri pelancongan negeri,” katanya dalam ucapan penggulungan mengenai bajet negeri untuk tahun depan, pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Sementara itu beliau berkata kementeriannya sedang bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan Kementerian Pengangkutan Sarawak bagi memastikan kekerapan penerbangan ditingkatkan secara beransur ke tahap pra-pandemik.

Beliau berkata kekerapan penerbangan ke Sarawak yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) adalah sebanyak 587 penerbangan seminggu dan hanya 408 penerbangan sedang beroperasi ketika ini.

“Daripada jumlah itu, kekerapan penerbangan antarabangsa dan domestik masing-masing adalah 35 dan 373,” katanya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) mengenai inisiatif Gerbang Umrah Kuching (KUG) pada 6 Okt lepas.

Beliau berkata inisiatif ini akan menyediakan penerbangan terus dari Kuching ke Jeddah dan Madinah di Arab Saudi bermula suku pertama 2023.

“Kami mengunjurkan lebih 200,000 ketibaan pengunjung dalam tempoh enam tahun melalui KUG. Melalui program ini, pengembara boleh terbang dari setiap lokasi masing-masing dan singgah di Kuching untuk peberbangan ke Jeddah atau Madinah, atau dalam perjalanan pulang,” tambahnya. - BERNAMA

Media Baharu