fb fb fb fb fb

Sambutan Tahun Baharu: Beberapa jalan utama di Kuching ditutup

Gambar hiasan

KUCHING, 26 Disember – Beberapa laluan di sekitar negeri ini akan ditutup sempena sambutan Countdown 2025 yang akan berlangsung di Tebingan Kuching, di sini pada 8 pagi bermula 31 Disember hingga 1 pagi, 1 Januari 2025.

Ketua Polis Daerah Kuching, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata penutupan jalan itu bertujuan melancarkan perjalanan program dan memastikan aliran trafik terkawal sepanjang acara berlangsung.

"Jalan-jalan yang akan ditutup adalah Jalan Main Bazaar dari arah Jalan Lebuh Wayang; Jalan Gambier dari arah Jalan Market; Jalan Lebuh Java menuju ke Jalan Gambier, dan Jalan Gambier dari arah Jalan Lebuh Java.

"Selain itu, empat susur masuk turut akan ditutup bermula 4 petang, 31 Disember hingga 1 pagi, 1 Januari 2025," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Antara susur masuk yang ditutup adalah susur masuk ke Jalan Wawasan dari lampu isyarat Jalan Wawasan di Jalan Tun Abang Haji Openg; Susur Wisma Pelita ke Jalan Lebuh Wayang; Susur Jalan McDougal ke Jalan Lebuh Wayang; Lampu isyarat St. Mary dari arah Jalan Tabuan menghala ke Jalan Lebuh Wayang.

Mohd Farhan menasihatkan orang ramai agar tidak meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan, selain merancang perjalanan awal dan menggunakan laluan alternatif untuk mengelakkan kesesakan.

"Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching di talian 082-259900," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN