
SEPANG, 28 Februari – Sahabat Penggerak MADANI (SPM) Negeri Selangor menyokong penuh pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 (RPM 2026-2035) bagi memperkukuh sistem pendidikan kebangsaan untuk tempoh satu dekad akan datang.
- Sokongan penuh SPM Selangor terhadap pelaksanaan RPM 2026-2035 untuk memperkukuh sistem pendidikan kebangsaan.
- RPM dilihat sebagai pendekatan kolaboratif melibatkan kerajaan, institusi, industri, komuniti dan masyarakat sivil.
- Ditekankan lima tumpuan strategik: mutu, akses dan ekuiti, sumber dan kecekapan, fleksibiliti serta kemampanan.
- Pelaksanaan diharapkan mengangkat aspirasi Malaysia MADANI dan membina generasi beradab, berilmu, berkemahiran dan berkeyakinan.
Penyelarasnya, Megat Mohd Azlan Md. Arshad berkata, pelan pendidikan baharu itu merupakan langkah penting dalam membangunkan generasi beradab, berilmu, berkemahiran, berdaya tahan dan berkeyakinan.
“Bagi kami, RPM merupakan pendekatan kolaboratif, kerjasama yang baik antara semua pihak bagi menjamin masa depan pendidikan kerana kita mahu generasi yang lebih beradab serta berwibawa demi membina negara bertamadun dan lebih gemilang masa depan.
“Kita juga yakin RPM 2026-2035 ini secara efektif boleh menjana generasi yang bermanfaat kepada manusia,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ukhuwah MADANI: Bicara RPM 2026-2035 di Masjid Istiqamah Kg. Sg. Merab Luar, Sepang.
Selain itu, katanya pelan itu menekankan lima tumpuan strategik termasuk mutu, akses dan ekuiti, ketersediaan sumber dan kecekapan, fleksibel serta kemampanan sistem pendidikan.
Pelan tersebut dijangka melibatkan pendekatan kolaboratif antara kerajaan, institusi pendidikan, industri, komuniti dan masyarakat sivil, menekankan pendidikan sebagai tanggungjawab bersama demi membina masa depan negara yang lebih gemilang dan sejahtera.
Beliau berkata, sokongan komuniti bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan langkah penting bagi memastikan pelaksanaan RPM 2026-2035 memberi impak sebenar kepada generasi muda.
“RPM ini boleh mengangkat aspirasi Malaysia MADANI, menekankan enam rukun nilai, kesejahteraan, kemampanan, daya cipta, hormat dan keyakinan untuk menunjukkan negara Malaysia yang bertamadun dan berwibawa.
“Kita percaya pendidikan yang berkualiti ini mampu menjadikan negara kita berjaya,” katanya.