fb fb fb fb fb

RUU Tenaga Atom perkukuh kesiapsiagaan nuklear Malaysia

Chang Lih Kang menegaskan hukuman mati hanya terpakai untuk kesalahan nuklear serius. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 September - Rang Undang-Undang (RUU) Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diluluskan Dewan Negara.

Menteri MOSTI, Chang Lih Kang, berkata pindaan terhadap Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) adalah langkah kesiapsiagaan Malaysia ke arah penggunaan tenaga nuklear bagi penjanaan elektrik pada masa depan.

“Pindaan Akta 304 ini akan memperkukuh kawal selia tenaga atom dengan pendekatan lebih menyeluruh, moden dan selaras piawaian antarabangsa. Kerajaan beriltizam memastikan aspek keselamatan dan kawal guna sentiasa terjamin demi melindungi rakyat, alam sekitar dan kepentingan negara,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu.

RUU yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Ogos lalu turut memperuntukkan kesalahan baharu dengan hukuman berat. Ini termasuk hukuman mati secara budi bicara bagi perbuatan melibatkan bahan radioaktif atau nuklear dengan niat mengakibatkan kematian, kecederaan serius atau kerosakan besar terhadap alam sekitar.

Chang menegaskan hukuman mati secara budi bicara itu hanya terpakai untuk kesalahan nuklear serius, selaras dengan prinsip kesepadanan (proportionality) dan pengecualian (exceptionality).

TUN JULIA MOHD TAHIR