RUU Tadbir Urus AI dijangka dibentangkan hujung tahun ini

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) dijangka dibentangkan di Parlimen pada penghujung tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • RUU bertujuan memastikan penggunaan AI dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus dan boleh diaudit.
  • Tadbir urus AI diperkukuh melalui Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI Nasional, menekankan ketelusan, kebolehjelasan keputusan, pengurusan risiko dan keterlibatan manusia.
  • RUU ambil pendekatan berasaskan risiko, memperjelas tanggungjawab pembangun dan pelaksana, kandungan sensitif seperti agama dikategorikan berisiko tinggi dengan audit lebih ketat.

Ia sebagai usaha memastikan penggunaan teknologi tersebut dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus dan boleh diaudit.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong memaklumkan, bagi menyokong pelaksanaan RUU tersebut, tadbir urus AI turut diperkukuhkan melalui Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI Nasional (AIGE).

“Rangka kerajaan berlandaskan governance and ethic yang menekankan ketelusan, kebolehjelasan keputusan, pengurusan risiko serta keterlibatan manusia, bagi memastikan AI berfungsi secara bertanggungjawab, boleh diedit dan tidak beroperasi secara autonomi tanpa semakan,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar di Parlimen.

Tambah beliau, RUU tersebut akan mengambil pendekatan berasaskan risiko serta memperjelaskan tanggungjawab semua pihak yang terlibat dalam kitaran pembangunan dan penggunaan AI, termasuk pembangun serta pelaksana sistem.

Sistem AI yang menguruskan kandungan sensitif seperti agama akan dikategorikan sebagai berisiko tinggi dan tertakluk kepada keperluan pematuhan serta audit yang lebih ketat.