RUU pengehadan tempoh jawatan PM ambil kira perkhidmatan terdahulu


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Februari – Pindaan perlembagaan berhubung pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri akan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang telah dilalui sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pindaan had tempoh jawatan Perdana Menteri mengambil kira tempoh perkhidmatan terdahulu secara retrospektif.
  • Had maksimum 10 tahun dikira secara baki untuk Perdana Menteri semasa dan bekas Perdana Menteri.
  • Jika menang semula PRU, baki tempoh dikira berdasarkan keseluruhan had 10 tahun, bukan tempoh baharu.
  • RUU boleh dipinda kemudian mengikut keputusan kerajaan semasa untuk memastikan pelaksanaan adil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, had maksimum 10 tahun itu akan dikira secara retrospektif atau ke belakang, termasuk bagi Perdana Menteri semasa dan bekas Perdana Menteri.

Beliau berkata, jika Perdana Menteri sedia ada memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) dan dilantik semula, tempoh baki jawatannya akan dikira berdasarkan had keseluruhan 10 tahun.

“Contoh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menang pilihan raya yang ke-16, beliau nak jadi Perdana Menteri sekali lagi, boleh. Tetapi kalau tahun ini, dia tinggal tujuh tahun sahaja, bukannya diberikan tempoh baharu 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai RUU pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri di Parlimen, hari ini.

Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, had tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri dikira secara baki bagi bekas Perdana Menteri yang dilantik semula.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan pelaksanaan had tempoh secara adil, tetapi RUU berkenaan boleh dipinda kemudian mengikut keputusan kerajaan semasa.